Tarikh : 24/06/2016
Hari : Jumaat
Tempat : Dewan Bestari, SK Brinchang
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang istimewa buat umat Islam. Bahkan, ia adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh orang-orang mukmin, datangnya dinantikan, perginya ditangisi oleh para sahabat dan mukminin. Maka, rugilah mereka yang tidak menggunakan kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk berada dalam bulan yang mulia ini dengan sebaik mungkin. Oleh itu pelbagai aktiviti agama seharusnya dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan ini khususnya, sebagai penjana untuk memantapkan lagi program pengukuhan sahsiah murid dan warga sekolah. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya : “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu" (Riwayat Bukhari).
Oleh yang demikian, bagi menyambut seruan daripada Rasulullah S.A.W tersebut, Panitia Pendidikan Islam SK Brinchang Cameron Highlands telah menyatakan kesediaan untuk merebut ganjaran yang berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T dengan menjayakan suatu program pembetukan Rohani dalam kalangan guru, kakitangan serta murid yang dinamakan sebagai "PROGRAM IHYA' RAMADHAN & KHATAM AL-QURAN SK BRINCHANG 2016".
Objektif :
- Melahirkan warga sekolah yang memiliki sahsiah diri yang mulia, berbudi pekerti, berhemah dan cintakan ajaran Islam khususnya di dalam Ramadhan al-Mubarak.
- Mewujudkan suasana keakraban, kemesraan dan seronok beramal ibadat dalam bulan Ramadhan demi menyemarakkan amalan secara jamaie serta seimbang dalam mengendalikan urusan duniawi dan ukhurawi.
- Melahirkan rasa bersyukur dengan nikmat keselesaan hidup dan kesihatan dikalangan warga sekolah serta turut sama bersimpati memberi sumbangan untuk mereka yang kurang bernasib baik.
- Sebagai satu wadah menjelas dan berkongsi ilmu serta pengalaman dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang Ramadhan.
- Memantap dan menyemarakkan lagi ukhuwah Islamiah antara warga sekolah dengan masyarakat setempat dan para ibu bapa murid.
Kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini hendaklah disambut dan dihayati dengan amalan yang berfaedah. Semoga Program Ihya' Ramadhan & Khatam Al-Quran SK Brinchang Cameron Highlands 2016 yang akan dijalankan ini mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Semoga Ramadhan kali ini menjadi tarbiyyah ruhiyyah dalam mendidik murid-murid menjadi muslimin dan muslimat yang bertaqwa.
Matlamat :
Menjana dan menyelaras program pembangunan modal insan di sekolah agar penghayatan Ramadhan dapat meningkatkan keutuhan sahsiah peribadi dan kredibiliti warga sekolah supaya cita-cita melahirkan generasi khaira ummah tercapai.
Sasaran :
Guru dan kakitangan sokongan
Murid-murid
Tema :
Ramadhan Bulan Berkat, Takwa Kita Pertingkat
Anjuran :
Panitia Pendidikan Islam SK Brinchang, cameron Highlands
No comments:
Post a Comment